Wartawan pencen bongkar kisah tanah haram Pahang (Part 4)

Wartawan pencen bongkar kisah tanah haram Pahang (Part 4)

SELAMAT HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 2020… semoga anda menyayangi tanah air anda dan menjaga kedaulatannya dengan tulus ikhlas.

(Maaf siri 4 agak lewat diterbitkan kerana kesibukan melayan pelanggan, urusan keluarga dan sedikit “gangguan”)

Selepas saya memberikan salinan photostat Kad Pengenalan yang diminta, Mr C mendesak saya membuat bayaran pemerosesan permohonan tanah dengan segera ke akaun bank yang diberikan.

Menurutnya, sebaik sahaja permohonan dikemukakan kepada Pejabat Tanah Bentong, ada orang dalam akan keluarkan segera surat penerimaan permohonan lengkap dengan nombor lot yang sudah siap diplot.

Dengan hanya surat itu, katanya, kerja-kerja pembangunan dusun Musang King di tanah yang dipohon sudah boleh dimulakan.

Memandangkan saya sudah ada pengalaman memohon tanah Kerajaan Negeri sebelum ini, surat akuan penerimaan permohonan tanah atau dulunya dikenali sebagai “Resit Hijau” bukanlah surat kelulusan permohonan tanah tetapi ia cuma surat prosedur biasa yang dikeluarkan kepada semua permohonan tanah.

Saya kemudian bertanya kepada Mr C:

“Tauke ini bukan surat lulus maa, ini surat biasa aje… semua orang boleh dapat ini surat kalau buat permohonan tanah… mana boleh develope itu tanah lagi… nanti kena tangkap maa?”

“Haiya… sana Raub ka, Bentong ka… Jerantut ka… mana-mana la ini Pahang semua kita orang buat macam ni dulu-dulu lagi… saya punya pak dulu pun bikin ini macam… kasi kawtim last-last dapat geran juga maa! You jangan takut, nanti minggu depan boss ikut saya bawa investor tengok kawasan yang dia orang sudah buat ribu-ribu ekar punya. Bawa you punya four wheel tolong bawa investor ke sana nanti.”

Itu jawab Mr C dengan penuh yakin walaupun saya masih ragu-ragu tetapi teruja untuk melihat sendiri dan medapatkan maklumat lebih lanjut mengenai modus operandi sindiket tanah haram Musang King.

Dalam hati saya berbisik, begini rupanya sindiket tanah haram memanipulasi surat Pejabat Tanah untuk “menghalalkan” kegiatan mereka.

Minggu berikutnya Mr C mengajak saya menyertai lawatan tapak bersama 20 pelabur ke projek tanah haram Musang King di Bentong.

Bagaimanapun, saya ada urusan lain yang lebih penting ketika itu dan hanya lawatan kali kedua saya menyertainya.

Dalam lawatan kedua ini, cuma ada lapan pelabur tanah haram dan saya ditugaskan membawa empat pelabur termasuk pasangan suami isteri berusia 60an.

Kekayaan mereka sudah dapat dinilai dari kenderaan mewah yang mereka gunakan untuk sampai ke lokasi pertemuan berhampiran markas satu parti politik kaum Cina, sebelum mereka menumpang kenderaan 4X4 buruk saya untuk ke lokasi tanah haram yang bakal mereka beli di Hutan Simpan pedalaman Bentong.

(Nota: Saya tidak akan mendedahkan lokasi tanah haram berkenaan kepada sesiapa kecuali kepada Menteri Besar Pahang jika beliau sanggup turun padang bersama saya meninjau sendiri kawasan berkenaan dan bertindak tegas membanteras perkara ini daripada terus berleluasa)

Selepas melalui jalan masuk bertar sejauh kira-kira dua kilometer (mengekori Hilux Mr C yang membawa 4 pelabur lagi), kami mula memasuki jalan tanah merah berbukit-bukau menyusuri anak sungai yang berjeram dan jernih airnya dan ada kalanya kami terpaksa meredah anak sungai yang cetek. Di kiri dan kanan jalan dipenuhi kebun getah dan kelapa sawit haram yang menurut Mr C sudah diteroka berpuluh tahun lalu dan tidak pernah “diganggu” kerana semuanya sudah “dikawtim.”

Selepas kira-kira satu jam perjalanan melalui jalan tanah merah, kami mula memasuki kawasan Hutan Simpan yang sudah ditebang balaknya beberapa tahun lalu (berdasarkan saiz pokok belukar muda yang tumbuh di kawasan berkenaan)

Ketika berhenti rehat seketika sebelum menyeberangi satu lagi anak sungai berbatu, baru saya perasan dicelahan belukar muda dan saki baki pokok balak itu, rupa-rupanya sudah ada tanaman durian Musang King berusia lebih 3 tahun! (gambar)

Aduhai… bijak sungguh mereka mengaburi pandangan umum dengqn taktik sedemikian.

Kami kemudian meneruskan perjalanan lebih jauh ke dalam Hutan Simpan sehingga mula nampak Banjaran Titiwqngsa sayup di depan kami.

Di satu lagi perhentian (Mr C sudah beberapa kali memberhentikan Hilux beliau untuk memberi penerangan kepada rombongan pelabur dalam bahasa Cina), saya mula bertanya Mr C.

“Berapa jauh lagi kita punya tapak projek… kenapa tidak ambil kawasan yang kita lalui tadi… lebih dekat dan ada sungai cantik-cantik?”

“Ooo… itu semua sudah ada lain group ambil… tadi kalau you nampak dalam semak semua sudah ada Musang King besar-besar maa… yang dekat sungai pertama kita cross tadi itu Datuk A punya 80 ekar, lagi seberang sungai lain group ambik 300 ekar baru tanam… lagi satu group ambik 200 ekar, lagi satu Datuk sudah pencen… punya ada 60 ekar… lagi satu baru clear kawasan tadi itu tauke…punya…. kita punya tempat 1,000 ekar sudah tidak jauh… lagi cantik.”

Aduhai… habislah tanah untuk anak cucu aku dikemudian hari mereka dah sapu!

INI SEMUA KAWTIM PUNYA PASAL!!

Sumber:

PEMBONGKARAN TANAH HARAM PAHANG (4)Oleh KHAIDIR AHMAD(Wartawan Tua)SELAMAT HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 2020……

Posted by Khaidir Ahmad on Wednesday, September 16, 2020

COMMENTS