Umno terdesak namakan Muhyiddin calon PM kerana masih dihantui sebagai parti kleptokrat?

Umno terdesak namakan Muhyiddin calon PM kerana masih dihantui sebagai parti kleptokrat?

Keputusan Muafakat Nasional untuk mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, menggambarkan Umno sebenarnya setuju dengan tohmahan parti kleptokrat yang pernah dilemparkan Muhyiddin terhadap parti itu.

Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Mahfuz Omar berkata, Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi seolah-olah menerima dan mengakui dakwaan Umno ialah parti pencuri.

“Saya agak hairan kenapa Presiden Umno boleh bersetuju untuk mencalonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

“Saya percaya bahawa dengan persetujuan ini, menggambarkan Zahid Hamidi telah pun bersetuju dengan apa yang dilakukan Muhyiddin pada PRU14 lalu.

“Ketika itu Muhyiddin antara yang bergerak untuk menolak Umno dan menggelarkan Umno parti kleptokrat iaitu parti pencuri dan penyamun yang sering diungkap beliau,” katanya dalam satu video yang dimuatnaik di Facebook miliknya hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan bahawa Umno dan Pas bersetuju menyokong Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri bagi PRU15, setelah perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, ketika ini akar umbi Umno pula dilaporkan mula mempertikaikan keputusan tersebut dan mempersoalkan sama ada ianya telah diputuskan dengan persetujuan secara konsesus Majlis Kerja Tertinggi (MT) parti.

Tiga ahli Parlimen Umno ketika ini turut menyatakan pendirian sama untuk tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan, antaranya Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah; Pengerusi Umno Sabah, Datuk Sri Bung Moktar Radin; dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sementara itu, Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, dengan pencalonan Muhyiddin, ia bermakna Umno menerima untuk tidak lagi menjadi parti dominan apabila kerusi-kerusi yang dimenanginya akan diagihkan sama rata dengan Bersatu.

Mahfuz juga mendakwa, situasi yang berlaku ketika ini adalah proses untuk membeli jiwa Muhyiddin sekaligus membentuk masa depan negara yang berasaskan ‘jual beli’ untuk melepaskan diri.

“Ada orang kata Umno sendiri dah tak ada calon sebab calon mereka sama ada Zahid atau Najib Razak terpalit dengan puluhan kes yang sedang dibicarakan di mahkamah.

“Saya percaya persetujuan itu untuk membeli jiwa Muhyiddin agar mencari jalan bagi melepaskan pemimpin-pemimpin Umno daripada kes dan pertuduhan yang sedang dihadapi mereka terutama berkaitan dengan 1MDB,” ujarnya.

Berita penuh:

https://malaysiadateline.com/muhyiddin-sebagai-pm-umno-setuju-digelar-parti-kleptokrat/

COMMENTS