Terima rasuah hampir RM 62,000, penolong jurutera mekanikal dihukum penjara

Terima rasuah hampir RM 62,000, penolong jurutera mekanikal dihukum penjara

MELAKA: Seorang bekas penolong jurutera mekanikal dipenjara empat tahun dan didenda RM341,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini selepas didapati bersalah atas enam pertuduhan menerima suapan, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Hairudin Ngadiron, 45, yang sebelum ini bertugas di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bakri, Muar selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mengikut lima pertuduhan terhadapnya, tertuduh didapati menerima suapan berbentuk pengubahsuaian rumah daripada pengurus SMR Cahaya Enterprise membabitkan nilai keseluruhan RM61,686.72.

Suapan berkenaan diterima sebagai upah membantu mendapatkan kerja-kerja di tempatnya bertugas di maktab berkenaan. Tertuduh turut berdepan satu pertuduhan lain dan didapati menerima suapan bayaran membaiki kenderaan jenis Toyota Landcruiser Prado bernilai RM4,200 dari syarikat sama.

Kesemua kesalahan itu dilakukan dalam enam transaksi berasingan di Sungai Rambai Melaka dan Parit Keroma, Muar, Johor antara Januari hingga April 2017 lalu. Justeru, tertuduh yang kini bekerja di sebuah kebun sawit, didakwa mengikut seksyen 16(a)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohd Razak Sharif pada hujahannya merayu hukuman diringankan memandangkan ini kesalahan pertama selain tertuduh kini hanya bekerja di kebun sawit dengan pendapatan kira-kira RM900 sebulan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zender Lim Wai Keong dan pegawai pendakwa Norsyarina Raizan bagaimanapun menegaskan kesalahan rasuah seolah-olah sudah menjadi suatu ‘norma baharu’ di negara ini.

Ujarnya, hukuman berat wajar diberikan sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, tetapi kepada masyarakat secara keseluruhannya selain sekiranya isu rasuah ini tidak dipandang serius, ia hanya akan menggagalkan usaha memajukan negara.

Sejurus mendengar hujahan kedua pihak, Mohd Nasir pada penghakimannya kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua hingga empat tahun serta denda RM22,000 hingga RM145,000 bagi setiap enam pertuduhan berkenaan serta penjara tambahan 36 bulan sekiranya gagal melunaskan kesemua jumlah denda.

Mohd Nasir bagaimanapun kemudian menetapkan jaminan RM50,000 selepas pihak pembelaan merayu penangguhan hukuman dengan mengemukakan notis rayuan kepada mahkamah tinggi dalam tempoh tujuh hari

Tertuduh turut diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM Melaka. Seramai 46 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dikemukakan sejak awal kes berjalan pada Oktober 2018 lalu.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/rasuah-bekas-penolong-jurutera-dipenjara-empat-tahun-didenda-rm341000-264913

COMMENTS