Musang king menangis di Pahang

Musang king menangis di Pahang

Bukan saya orangnya yang akan menegakkan benang yang basah. Yang salah itu tetap salah, menceroboh tanah kerajaan itu salah… titik! Tetapi cuba menjuarai kononnya penentangan terhadap pencerobohan tanah dengan iringan lagu perkauman adalah sumbang dan salah, salah paling tidak pun dalam konteks Negeri Pahang. Sejak bila Kerajaan Negeri Pahang ini diperintah oleh Cina? Oleh DAP? Penguatkuasa dari Pejabat-Pejabat Tanah di seluruh Pahang ini Cinakah? Oh… sebab yang dibisingkan adalah kes penanam durian di Raub, mereka Cina, maka DAP yang salah, begitu? Kalau penanam durian haram itu Melayu macam mana pula? Dan syarikat yang mahu mengambil-alih tanah itu secara “sah” didokong oleh peniaga Cina. Kalau berlaku keadaan macam ini kita mahu melagukan lagu apa pula? Lagu Cinta Dusta? Atau cinta kamu kepada Melayu itu sememangnya dusta? Cuma cinta kepada kuasa.

Seperti saya cakap sebelum ini, Negeri Pahang ini luas, besar. Penerokaan tanah secara haram bagi tujuan perladangan dan perkebunan boleh berlaku di mana-mana, apalagi sebahagian besar negeri ini adalah kawasan kampung dan pedalaman, yang selalunya rapuh dari jangkauan penguatkuasaan. Tetapi penerokaan tanah secara haram itu bukanlah hanya berlaku melibatkan pekebun atau peladang Cina, ia juga berlaku di kalangan orang Melayu, dalam skala yang besar juga.

Inilah pengalaman saya, yang saya janji mahu ceritakan sebelum ini, yang berlaku di Pahang juga, di satu kawasan kampung pedalaman dalam parlimen mantan Perdana Menteri, Najib Razak (atas sebab profesionalisme, tidak perlu saya sebutkan secara khusus tempat dan orang yang terlibat). Secara kerjayanya, saya adalah seorang Setiausaha Syarikat Bertauliah, orang yang dipertanggungjawabkan oleh undang-undang dalam pengurusan penubuhan syarikat dan pemastian terhadap pematuhan oleh syarikat tersebut. Satu masa, saya telah dijemput oleh seorang Penghulu bermesyuarat bersama Tok Empat-Tok Empat (ketua-ketua kampung) di bawah pentadbirannya. Isunya kerana sekumpulan orang kampung (Melayu) di situ ada mengusahakan tanah kerajaan secara haram, dalam skala yang agak besar juga, dan usahatani itu sudah hampir masa memungut hasil.

Kenapa saya dipanggil? Di bawah inisiatif Penghulu tersebut, mereka telah menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi mengesahkan pemilikan tanah-tanah tersebut. Cara yang mereka fikirkan adalah dengan penubuhan syarikat (kerana syarikat Sdn. Bhd. atau Berhad sahaja boleh memiliki tanah dengan jumlah ekar yang besar, individu tidak boleh). Maka kerana itu saya dipanggil. Kaedah yang mereka fikirkan adalah dengan menubuhkan syarikat Sdn. Bhd., yang mana peneroka-peneroka ini akan menjadi pemegang saham mewakili kepentingan mereka, sementara kalangan Penghulu dan Tok Empat menjadi pemegang saham mewakili kepentingan mukim dan kampung. Sebagai balasannya, apabila syarikat tertubuh, tanah berjaya dipindah milik kepada syarikat dan hasil sudah diperolehi dari penerokaan tanah tersebut, syarikat mestilah membelanjakan sebahagian dari pendapatannya untuk manfaat mukim dan kampung serta memberi insentif tunai kepada penduduk di situ yang memerlukan. Saya sempat beberapa kali bermesyuarat dengan mereka, termasuk mesyuarat bersama Pejabat Daerah sebelum ia terhenti dan senyap begitu sahaja. Terhentinya selepas PRU 2018, mungkin kerana kekalahan Barisan Nasional, juga jatuhnya Najib dari kerusi Perdana Menteri. Di Pahang juga walaupun BN masih memerintah tetapi tampuk pemerintahan berubah, Adnan Yaakob mengundur diri dari jawatan Menteri Besar.

Dari apa yang saya ceritakan ini, apa yang saya mahu beritahu adalah jelas, bahawa isu penerokaan tanah secara haram di Pahang bukanlah isu perkauman. Cukup-cukuplah memainkan lagu perkauman ini semata-mata mahu mencari dan membina kekuatan politik sempit dalam kerapuhan Kerajaan Perikatan Nasional. Ini semua adalah kibaran bendera palsu (false flag) bagi menghalang kejatuhan kerajaan PN secara tiba-tiba. Selesaikan masalah Ust Dr. Khairuddin at-Takiri itu dahulu, jangan cuba tutup dengan melemparkan kebencian kepada kaum dan agama lain. Bersalahnya At-Takiri di mahkamah akan menghilangkan majoriti mudah PN di Parlimen, ini yang ditakuti. Kalau kalangan yang berlakon pejuang “tanah Melayu” ini bersungguh benar mahu membawa peneroka tanah haram di Raub ke muka pengadilan kerana melanggar undang-undang, maka kerana undang-undang jugalah At-Takiri mesti di bawa ke mahkamah. Saya tidak mahu At-Takiri meletak jawatan, saya mahu dia didakwa!

 

Ada orang berkata dia tidak boleh didakwa kerana dia telah dikompaun oleh KKM, caj berulang untuk kesalahan yang sama tidak dibenarkan oleh perlembagaan. Itu saya akui, tetapi At-Takiri hanya dikompaun RM1,000 untuk satu kesalahan melanggar perintah kuarantin, sedangkan dalam tempoh 14 hari dia sepatutnya mengkuarantin diri, dia telah berkali-kali melanggar perintah tersebut, jadi dia boleh didakwa atas kesalahan-kesalahan yang belum dikompaun itu. Kerapuhan inilah yang cuba ditutup dengan mengungkit kes-kes penerokaan tanah secara haram di Pahang ini, yang sebenarnya telah berlaku puluhan tahun, kerajaan mana yang menutup mata?

 

Selain At-Takiri, kalian sudah lihat apa yang berlaku di Johor yang melibatkan Osman Sapian bagi membuktikan betapa tidak stabilnya kerajaan PN pimpinan Muhyiddin ini. Bimbangilah ketidakadilan yang kita lakukan, jangan bimbangi kuasa yang mungkin hilang, apakah kita kerana politik kuasa ini sudah menjadi tidak berTuhan untuk mempercayai bahawa Tuhan akan menolong kita jika kita benar?

 

Sumber : FB Zukri Aksah

TANAH HARAM, KEBUN DURIAN, PERKAUMAN?Bukan saya orangnya yang akan menegakkan benang yang basah. Yang salah itu tetap…

Posted by Zukri Aksah on Saturday, September 5, 2020

COMMENTS