Semua institusi pra sekolah terjejas layak terima bantuan Tabung Musa’adah Covid-19-Menteri

Semua institusi pra sekolah terjejas layak terima bantuan Tabung Musa’adah Covid-19-Menteri

Asalkan kena pada sasaran dan dimanfaatkan – itu penjelasan diberi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad mengenai pengagihan bantuan daripada Tabung Musa’adah Covid-19 selepas ia menimbulkan kritikan pembangkang sejak semalam.

Kata Zulkifli dana daripada tabung berkenaan terbuka untuk disalurkan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan dan terkesan oleh serangan wabak Covid-19.

Golongan terbabit kata beliau termasuklah orang bukan Islam, Orang Asli, nelayan, dan juga “sesetengah sekolah yang kesukaran”.

“Apabila kita sebut musaadah, kita biasanya mengumumkan… mengumumkan kepada mereka yang layak (termasuk) kepada non-Muslim Orang Asli, kepada sesetengah sekolah yang kesukaran, kepada nelayan,” katanya.

Menurut Zulkifli, setakat ini sudah hampir RM200 juta sumbangan disalurkan.

“Kita telah belanjakan Tabung Musa’adah ini hampir RM200 juta sekarang ini. Apa yang sepatutnya kita bagi, kita bagi.

“Bagi saya dalam isu seperti pembahagian ini, yang penting memang kita nak sampaikan kepada sasaran dan boleh dimanfaatkan dan kena pada sasaran tersebut, (tak kira) sesiapalah,” katanya kepada pemberita di Masjid Al-Khasyi’in di Kuala Lumpur hari ini.

Boleh kalau munasabah

Turut hadir, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Zulkifli hadir bagi merasmikan program Cuci-cuci Masjid Pasca-Covid-19 & Musa’adah Covid-19.

Terdahulu senator itu diminta mengulas tentang sumbangan berjumlah RM100,000 daripada tabung berkenaan kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) milik PAS.

Berdasarkan gambar yang dipaparkan sumbangan tersebut disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary. Beliau merupakan ahli parlimen PAS bagi kawasan Bachok, Kelantan.

Laporan media memetik gambar yang dikatakan dimuat naik di Facebook rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), bagaimanapun berdasarkan pemeriksaan pagi ini, hantaran itu sudah tidak dapat ditemukan.

Tabung Musa’adah Covid-19 dilancarkan oleh Jakim pada 24 Mac 2020, sebagai inisiatif membantu meringankan beban pihak yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Disoal apakah institusi prasekolah lain turut boleh memohon bantuan daripada tabung berkenaan, jawab Zulkifli, setiap permohonan akan dilertimbangkan menurut “kemunasabahan”.

“Kita akan lihat berdasarkan peruntukan yang munasabah.

“Insya-Allah tak ada masalah kalau cukup syarat, dan kalau kita masih ada lagi (peruntukan), kita cubalah tengok satu-satu,” katanya.

Mungkin sebulan dua lagi

Program Cuci-cuci Masjid Covid-19 dianjurkan oleh Yadim dengan kerjasama Jakim, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Kelab Bukit Perdana JPM dan Masjid Al-Khasyi’in.

Hari ini program itu dilakukan serentak di 10 masjid seluruh negara sebagai galakan agar masyarakat bersama-sama menjaga kebersihan masjid serta mengeratkan silaturrahim.

Dalam program itu juga, sumbangan turut diberikan kepada 20 individu yang memerlukan – 10 orang Islam dan 10 bukan Islam – merangkumi bantuan makanan asas seperti beras, gula, garam, biskut dan kicap.

Sementara itu, ketika disoal tentang spekulasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan menyemak semula penguatkuasaan oleh kerajaan sebelum ini, Zulkifli berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam pemukiman (retreat) bersama Jawi yang dijangka minggu ini.

“Kita akan bahaskan dan kita akan bincangkan semua aspek, bukan satu aspek (saja),” katanya.

Menurut Zulkifli, perbincangan itu akan berkisar tentang hala tuju, aspek kewangan, tadbir urus yang baik, dan sebagainya.

“Kita akan tengok satu persatu,” katanya.

Selain itu, Zulkifli turut mengulang kenyataannya sebelum ini, bahawa warga asing mungkin akan dibenarkan mengerjakan solat jemaah di masjid dan surau, dalam sebulan atau dua bulan lagi.

“Setiap minggu kita sentiasa dapat maklumat dan laporan, (berkenaan) apa yang kekurangan, apa perlu kita baiki (dalam soal pelonggaran solat jemaah), dan ia akan mengambil sedikit masa, mungkin sebulan, mungkin dua bulan.

“Selepas dari itu, kita memang akan menyuruh mereka melakukan ibadat (di masjid),” katanya.

Berita penuh:

https://m.malaysiakini.com/news/533305

COMMENTS