Bekas pengarah salah guna kedudukan, dibebaskan?

Bekas pengarah salah guna kedudukan, dibebaskan?

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Seri Syed Afendy Ali Syed Abid Ali melakukan sujud syukur selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini, membebaskannya daripada lapan pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan lapan unit kondominium berjumlah hampir RM2 juta, tujuh tahun lalu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah melepas dan membebaskan Syed Afendy Ali selaku responden selepas membenarkan permohonannya untuk mengetepikan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM80,000 yang dikenakan terhadapnya di Mahkamah Sesyen di sini, pada 20 Mac 2018.

Dalam penghakimannya, Collin berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan intipati dalam Seksyen 165 Kanun Keseksaan bahawa perayu menerima harta teralih untuk individu yang disebut dalam pertuduhan.

“Mahkamah membenarkan rayuan perayu dan denda itu dipulangkan,” katanya.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izahani [email protected] Zainol manakala peguam Hamidi Mohd Noh mewakili responden.

Pada 20 Mac 2018 lalu, Mahkamah Sesyen di sini, menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM80,000 terhadap Syed Afendy Ali Syed selepas didapati bersalah atas lapan tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan lapan unit kondominium berjumlah bernilai hampir RM2 juta.

Hakim Allaudeen Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagaimanapun, hakim membenarkan permohonan Syed Afendy Ali untuk menangguhkan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi.

Bagi pertuduhan pertama hingga kelapan, Syed Afendy Ali yang ketika itu Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Penyelarasan Pembangunan (JPEPP) DBKL, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan lapan unit kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Bandar Tun Razak di sini.

Aset tersebut masing-masing bernilai RM249,990 daripada syarikat Danau Lumayan Sdn Bhd adalah untuk empat individu (ketika kejadian) iaitu Minah Abdullah, 75; Mazwan Amin Mohd Noor, 46; Syed Ashraf Ali Syed Afendy Ali; 30, dan Rodziah Abd Samad, 56.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan berkenaan di Pejabat Pengarah JPEPP DBKL di sini, di antara 6 September 2013 dan 16 Oktober 2014.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/112197/BERITA/Mahkamah/Bekas-Pengarah-DBKL-bebas-pertuduhan-salah-guna-kedudukan

COMMENTS