Sahabat walau berlainan parti dan kefahaman politik

Sahabat walau berlainan parti dan kefahaman politik

SEMPORNA – Meskipun berbeza pandangan politik dan tidak berada dalam kepimpinan kerajaan yang sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tetap menganggap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai sahabat baik dan rakan lama yang tidak akan dilupakan.

Mengimbau saat jatuh bangun dalam arena politik, terutama sekali sewaktu era gelap mereka dalam UMNO pada 2016, Mohd Shafie berkata, apa yang pasti ketika ini ialah beliau konsisten dengan matlamat asalnya untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

“Saya tetap jadi sahabat dia, saya tetap berkawan dengan dia, dia adalah rakan lama saya,” katanya sambil tersenyum, semasa temu bual eksklusif dengan Bernama di kediamannya di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin sebelum ini yang menyatakan kesedihannya kerana Mohd Shafie yang disifatkannya sebagai sahabat baik, tidak bersamanya dalam memimpin kerajaan.

Pada 24 Jun 2016, UMNO menggantung keahlian Mohd Shafie, selain memecat Timbalan Presiden UMNO ketika itu, Muhyiddin dan Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Mohd Shafie kemudiannya mengumumkan keluar UMNO selepas 10 hari penggantungan keahliannya.

Mohd Shafie, yang juga Presiden Warisan berkata, agak janggal bagi beliau dan partinya bekerjasama dengan parti yang telah ditolak oleh rakyat. “Jadi bila rakyat menolak, takkan kita nak bekerjasama dengan parti yang ditolak oleh rakyat, akhirnya kalau kita bekerjasama dengan parti yang ditolak oleh rakyat maka kita akan ditolak oleh rakyat,” katanya.

Berhubung pandangan bahawa Sabah tidak akan membangun sekiranya kerajaan negeri tidak selari dengan kerajaan Persekutuan, Mohd Shafie berkata, tanggapan itu tidak benar sama sekali, mengambil contoh pentadbiran parti tempatan terdahulu seperti Berjaya dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan ditadbir BN.

Beliau berkata, pada waktu itu pun kedudukan sebahagian besar daerah-daerah di negeri ini jauh terkebelakang dari sudut infrastrukturnya sama ada dari segi kesihatan mahu pun pendidikan.  “Jangan cerita dari sudut keselamatan persisiran pantai timur yang ada, kita katakan kawasan inilah di Malaysia yang selalu tergugat tentang kedaulatan, keselamatan, rompakan, penculikan yang jauh banyak jumlahnya dalam setahun berbanding kawasan lain di negara ini,” katanya.

Sebaliknya, Mohd Shafie berpandangan sudah tiba masanya kerajaan negeri memberi kerjasama dengan kerajaan Persekutuan menerusi konsep kerajaan dengan kerajaan (G2G), namun bukan kerjasama dalam gelanggang politik.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/101193/BERITA/Politik/Muhyiddin-tetap-sahabat-baik-saya

COMMENTS