Punca kemelut, komplot baharu percaturan ahli parlimen Umno

Punca kemelut, komplot baharu percaturan ahli parlimen Umno

Suhu politik kembali panas selepas negara dikejutkan dengan polemik terbaharu susulan pengumuman Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang mendakwa dirinya sudah memiliki majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Sebaik selepas pengumuman tersebut, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi pula seakan senada dengan Anwar apabila kenyataannya memberi bayangan terdapat Ahli Parlimen daripada UMNO yang akan menyertai kem Anwar untuk membentuk kerajaan baharu tersebut.

Kata Zahid Hamidi, UMNO dan BN tidak dapat menghalang mana-mana Ahli Parlimennya daripada mengambil keputusan menyokong Anwar untuk membentuk kerajaan baru.

“Sebagaimana diketahui umum, UMNO dan BN bukan merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

“Sokongan kepada kerajaan PN merupakan sokongan daripada Ahli-Ahli Parlimen sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Zahid Hamidi seterusnya memberitahu, beliau dimaklumkan ramai Ahli Parlimen UMNO dan BN yang telah menyatakan sokongan kepada Anwar.

“Saya menghormati pendirian Ahli-Ahli Parlimen berkenaan,” tambahnya lagi.

Bagaimanapun, kenyataan Zahid Hamidi tersebut dilihat menimbulkan rasa kurang senang daripada kalangan pimpinan UMNO, malah Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung BN, Annuar Musa tidak menyembunyikan pendirian mereka yang seolah-olah tidak mahu UMNO menyeberang untuk bersama Anwar membentuk kerajaan baharu, sekaligus menumbangkan Muhyiddin Yassin.

Kata Mohamad Hasan, UMNO masih lagi menyokong dan mendokong kerajaan PN.

“Sebarang perubahan keputusan mestilah diputuskan oleh parti,” jelasnya.

Annuar pula berkata, semua parti yang bergabung dalam PN kekal menyokong kepimpinan Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

Sambil menyangkal dakwaan Anwar mempunyai sokongan majoriti, Annuar menambah, apa yang dilakukan Presiden PKR itu tidak lebih ulangan publisiti murahan seperti yang pernah dilakukannya sebelum ini.

Tetapi, yang menjadi persoalan besar di sini ialah tentang kenyataan Zahid yang begitu lunak terhadap rancangan peralihan kuasa Anwar dan seolah-olah beliau sudah mempunyai persefahaman dengan Presiden PKR itu untuk menarik beberapa Ahli Parlimen UMNO untuk bersama dalam kerajaan baharu.

Malah ada sumber memberitahu, lantaran adanya sokongan Zahid Hamidi kepada Anwar itulah yang menyebabkan beliau mempunyai keyakinan untuk menjatuhkan kerajaan dipimpin Muhyiddin dan disebabkan itu juga satu sidang media tergempar diadakannya.

Perkembangan terkini ini dijangka turut memberikan kesan kepada kempen PRN Sabah yang sedang berjalan, malah krisis terbaharu ini menyebabkan kem UMNO kini sudah berpecah dua dan ia memberikan kesan moral kepada jentera pilihan raya BN yang sedang berkempen di Sabah ketika ini.

Lebih dari itu, dengan gambaran Muhyiddin sudah hilang majoriti, kedudukan PN menjadi lebih parah dan akan menyebabkan tiada siapa lagi mahu mengundi calon gabungan kerajaan itu.

Persoalannya lain, adakah selain Zahid Hamidi, bekas Perdana Menteri, Najib Razak juga terlibat dalam komplot terbaharu ini?

Dengan perkembangan ini, apakah Muhyiddin bakal ditikam oleh rakan sekutunya sendiri dalam UMNO?

Sama-sama kita nantikan kesudahannya dalam beberapa hari akan datang nanti.(Shahbudindotcom 23/09/2020)

Sumber:
https://shahbudindotcom.net/2020/09/23/zahid-hamidi-sudah-ada-deal-dengan-anwar-umno-terpecah-dua.html

COMMENTS