Pemuda AMANAH tuntut hasil Tabung Musa’adah JAKIM turut disalur ke tadika lain

Pemuda AMANAH tuntut hasil Tabung Musa’adah JAKIM turut disalur ke tadika lain

Pemuda AMANAH sudah pun menjangkakan respon positif daripada YB Menteri Agama dalam pemberian sumbangan kepada sekolah PASTI yang dimiliki penuh oleh PAS.

Sekiranya PASTI layak mendapat bantuan tersebut, seharusnya sumbangan itu turut disalurkan kepada mana-mana tadika milik swasta yang lain. Tempoh perintah kawalan pergerakan selama lebih 3 bulan amat memberikan kesan yang mendalam kepada semua tadika swasta di Malaysia.

Ada tadika yang langsung tidak menerima sebarang yuran bulanan sedangkan mereka harus menanggung kos operasi seperti biasa. Gaji guru perlu terus dibayar dan bayaran sewa harus diselesaikan tepat pada waktunya juga.

PN bolehlah berhujah dengan alasan pengusaha tadika swasta mendapat pelbagai insentif daripada kerajaan seperti Program Subsidi Upah (PSU), Program Pengekalan Pekerjaan (ERP), Geran Khas Prihatin (GPK), Bantuan Prihatin Nasional (BPN) atau kemudahan pinjaman perniagaan tanpa faedah. Tetapi mengapa PASTI mendapat ‘keistimewaan’ ini?

Kami percaya ianya bukan dipilih berdasarkan kepada kelayakan semata-mata, tetapi agensi atau pihak manakah yang mempunyai kepentingan dan akses terus dengan pejabat menteri. Justeru, tidaklah menghairankan kerana Timbalan Menteri Agama sendiri adalah Ahli Parlimen PAS.

Wang cukai yang dibayar oleh rakyat, namun digunakan untuk kepentingan parti sendiri. Tindakan ini tidak jauh beza dengan cara UMNO membina kekayaan pemimpin dan parti menggunakan wang negara.

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Ketua Pemuda AMANAH Nasional

7 Julai 2020 / 16 Zulqaedah 1441H

Sumber:

COMMENTS