Pakai PPE pun mahu dipolitikkan?

Pakai PPE pun mahu dipolitikkan?

KUALA LUMPUR: Kelonggaran kepada Ahli Parlimen yang dikenakan arahan pemerhatian di rumah (HSO) untuk hadir mengundi di Dewan Rakyat tidak sepatutnya dipolitikkan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, ketika menegaskan perkara itu berkata kelonggaran sedemikian diberikan selepas mendapat kelulusan dan pertimbangan Kementerian Kesihatan (KKM).

Selain itu, katanya, setiap Ahli Parlimen berhak mengundi sekiranya wujud keperluan untuk berbuat demikian.

“Pagi ini, saya difahamkan ada tiga orang yang minta kebenaran untuk hadir ke dewan bagi mengundi.

“Mereka ini akan dibawa menggunakan ambulans dengan mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) dan ditempatkan di bilik khas.

“PPE baharu perlu dipakai sekiranya mereka ingin masuk ke dewan, tetapi ditempatkan di galeri awam bagi mengikuti proses pengundian.

“Ketika pengambilan undi, penghitung akan diarahkan untuk memakai ‘visor’ (pelindung muka), manakala mereka (Ahli Parlimen yang dikenakan HSO) akan diminta segera tinggalkan galeri awam selepas selesai mengundi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 41 mengenai kelonggaran memakai PPE di dalam Dewan Rakyat membabitkan segelintir Ahli Parlimen yang dikenakan arahan HSO.

Beliau mempersoalkan keperluan dan asas untuk mengubah prosedur operasi standard (SOP), semata-mata bagi menjamin kemenangan kerajaan ketika proses pengundian Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa yang kini berbaki lima lagi kementerian.

“Kalau tak yakin menang belanjawan, datang bincang dengan kami untuk dapatkan sokongan, bukan ubah suai SOP,” katanya.

Azhar berkata, pihaknya tidak pernah membuat sebarang pengubahsuaian SOP seperti ditetapkan KKM, bagi memastikan institusi Parlimen bebas daripada sebarang jangkitan COVID-19.

Bagaimanapun, katanya, kelonggaran sebelum ini diberikan kepada Ahli Parlimen untuk masuk ke dalam Dewan Rakyat ketika proses pengundian.

“Kita hadkan kehadiran Ahli Parlimen dalam dewan untuk datang berdebat, tetapi semua dibenarkan masuk ketika proses pengundian.

“Yang lain, itu bukan keputusan saya, sebaliknya kena minta kebenaran (Ketua Pengarah KKM) Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Kena ikut SOP ditetapkan KP KKM, bukan (ditetapkan) saya,” katanya.

Ketika ini, antara Ahli Parlimen yang menjalani HSO ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Dr Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara sebelum ini mengesahkan menerima arahan untuk menjalani HSO hingga 18 Disember selepas menjadi kontak rapat seorang petugas media swasta yang disahkan positif COVID-19.

Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah pula diarahkan untuk menjalani arahan sama selepas menjadi kontak rapat kepada seorang pegawai kanan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) yang positif jangkitan COVID-19.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/764838/speaker-minta-jangan-politikkan-kelonggaran-mengundi-pakai-ppe

COMMENTS