Muhyiddin wajar letak jawatan jika MP Umno beralih

Muhyiddin wajar letak jawatan jika MP Umno beralih

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar meletak jawatan atau memohon untuk pembubaran Parlimen jika benar 10 Ahli Parlimen (MP) UMNO telah beralih arah dengan menyokong atau menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri menegaskan, Perdana Menteri secara automatiknya sudah hilang kepercayaan di kalangan ahli Dewan Rakyat dan perlu meletak jawatan jika mana-mana pihak berjaya membuktikan bahawa mereka mempunyai majoriti sokongan.

“Jika keadaan ini berlaku, katakanlah ada lima atau enam Ahli Parlimen, atau mungkin 10, atau apa sahaja bilangan, yang sudah menandatangani SD, menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri, maka Muhyiddin sebenarnya sudahpun kehilangan majoriti beliau sebagai Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

“Perkara ini harus dibawa ke pengetahuan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memohon perkenan Baginda bagi membubarkan Parlimen,” kata felo penyelidik Institut Penyelidikan Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu.

Ini kerana, katanya, apabila seorang Perdana Menteri itu hilang kelayakan, ia bermakna, beliau sudah hilang sokongan, maka Parlimen sudah tidak lagi mempunyai suara majoriti.

“Maka, wajarlah diberi laluan kepada pembubaran Parlimen untuk menentukan siapakah pihak yang akan menjadi kerajaan pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada Ahad, Anwar dikatakan mendapat sokongan daripada 10 MP UMNO termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lalu dan mendapat majoriti tipis selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh dengan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari.

Justeru, mengikut Perkara 43(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara baginda untuk melantik seseorang sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, baginda hendaklah memastikan individu dilantik mendapat sokongan majoriti perwakilan dalam Dewan Rakyat di Parlimen seperti dalam Perkara 43 (2) (a).

Menurut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, jika Perdana Menteri hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, kecuali atas permintaannya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubar Parlimen, Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan.

Apabila Perdana Menteri didapati tidak mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan tidak mahu meletakkan jawatan, undi tidak percaya kepada beliau boleh dibuat di Dewan Rakyat.

Sekiranya undi tidak percaya menunjukkan Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan dan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Namun, mengikut Perkara 40 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara dalam perkara pembubaran Parlimen.

Baginda mempunyai budi bicara tidak membubarkan Parlimen walaupun dinasihati Perdana Menteri.

Kuasa perkenan atau tidak terhadap pembubaran Parlimen adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

Berita Penuh:
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/muhyiddin-patut-letak-jawatan-jika-hilang-sokongan-majoriti-penganalisis-272999

COMMENTS