MB Kedah rahsiakan syarikat terlibat projek nadir bumi

MB Kedah rahsiakan syarikat terlibat projek nadir bumi


Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor enggan mendedahkan syarikat yang terlibat dalam rancangan cari gali dan mengekstrak elemen nadir bumi-bukan radioaktif (NR-REE) di negeri ini.

Sanusi ketika dihubungi Malaysiakini ditanya mengenai kebimbangan NGO Sahabat Alam Malaysia (SAM) sekiranya projek cari gali NR-REE di Kedah melibatkan syarikat China yang sama di Perak, iaitu Chinalco GXNF Rare Earth Development.

“Tak ada, tak ada kerjasama,” katanya ringkas tanpa menjelaskan lanjut melalui khidmat pesanan teks hari ini.

Terdahulu, SAM menggesa kerajaan Kedah mendedahkan kepada orang ramai penjanjian antara syarikat yang terlibat dalam usaha sama itu.

“Orang ramai berhak untuk mengetahui apakah yang ditugaskan untuk dilakukan oleh syarikat itu dan di manakah aktiviti penerokaan itu akan dijalankan dan apakah perlindungan untuk alam sekitar dan sosial yang dipertimbangkan.

“Penerokaan REE bukanlah tanpa kesan sosial dan alam sekitar, terutama sekali apabila unsur itu ditemui di kawasan alam sekitar yang amat sensitif seperti hutan simpan atau di mana komuniti tempatan tinggal,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Kata SAM, Malaysia mestilah memberikan keutamaan yang betul dan mengutamakan alam sekitar dan tidak terus menjarah serta merosakkan sumber asli “atas nama menjana kekayaan ekonomi.” 

“Jelas, kita tidak pernah belajar daripada pengajaran yang lepas terhadap apa yang dikatakan benar-benar mampan, tetapi sebagai ganti meninggalkan legasi toksik untuk generasi akan datang,” kata SAM.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Dr Shamsul Anuar Nasarah pada satu kenyataan malam ini pula menegaskan tiada kelulusan skim pengendalian melombong unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Kedah sehinggalah SOP dan peraturan dipatuhi.

Walapun begitu, Anuar berkata kerajaan sedang berusaha merealisasikan potensi untuk menjadikan perlombongan NR-REE sebagai sumber baru ekonomi negara.

Berita Penuh: https://m.malaysiakini.com/news/553717

COMMENTS