Ketua menteri Sabah ditentu selepas PRN?

Ketua menteri Sabah ditentu selepas PRN?

PASIR GUDANG – Keputusan wakil daripada parti mana akan menjadi Ketua Menteri Sabah ditentukan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) tersebut pada bulan depan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tiada kata putus atau penetapan secara rasmi berkenaan jawatan tersebut ketika ini.

“Perkara ini (pelantikan jawatan Ketua Menteri Sabah daripada wakil Bersatu) hanya satu cadangan dan belum tentu jadi kenyataan.

“Terlalu awal untuk kita katakan perkara ini dan kita (Perikatan Nasional) masih belum putuskannya lagi,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Badan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pasir Gudang di Taman Rinting, di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa hari penamaan calon PRN Sabah pada 12 September lalu membayangkan calon Ketua Menteri Sabah adalah daripada parti tersebut.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor adalah nama yang disebut sebagai bakal Ketua Menteri Sabah jika dipersetujui parti lain dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 26 September ini sebagai tarikh PRN Sabah manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 12 September, manakala hari mengundi awal pada 22 September.

Sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan pada PRN Sabah kali ini.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/101303/Pilihan-Raya/PRN-Sabah/Jawatan-Ketua-Menteri-Sabah-ditentukan-selepas-keputusan-PRN

COMMENTS