Kerajaan membenarkan gimnasium di kawasan PKPB

Kerajaan membenarkan gimnasium di kawasan PKPB

KUALA LUMPUR, 17 Okt — Kerajaan membenarkan gimnasium di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk beroperasi semula, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), berkuat kuasa Isnin ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan turut membenarkan aktiviti sukan di padang bola sepak komersial dan pusat futsal, namun hanya bagi tujuan latihan, tertakluk kepada 10 peserta pada satu-satu masa.

Beliau berkata keputusan itu dibuat pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, selepas mendengar permohonan dan rayuan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), berhubung aktiviti sukan di gimnasium dan padang bola sepak komersial serta pusat futsal di kawasan PKPB.

“SOP selanjutnya akan diumumkan oleh KBS dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media secara maya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan, hari ini..
Mengenai pasukan petugas operasi pematuhan, beliau berkata polis menahan 467 individu atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, dengan 460 dikompaun manakala enam direman dan seorang dijamin.

Ismail Sabri berkata daripada jumlah itu, tidak memakai pelitup muka menjadi kesalahan tertinggi dengan 182 individu ditahan, manakala gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (110), gagal mematuhi penjarakan fizikal (106), premis beroperasi lebih masa (lima) dan lain-lain kesalahan (64).

Katanya, Operasi Benteng pula menyaksikan 58 pendatang tanpa izin ditahan semalam, selain masing-masing dua bot dan kenderaan darat turut dirampas.

Dalam pada itu, beliau berkata 49,923 individu pulang ke tanah air dari 24 Julai hingga semalam dan daripada jumlah itu, 9,261 orang sedang menjalani kuarantin wajib dan 381 lagi dibawa ke hospital untuk rawatan, manakala 40,281 individu didiscaj dan dibenarkan pulang.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), telah melaksanakan misi menghantar 14 tan peralatan perubatan dan kelengkapan seperti kelengkapan perlindungan diri (PPE), ‘isolation gown’, pelitup muka dan ‘tyvek suit’ untuk Hospital Medan di Tawau, Sabah hari ini, menggunakan pesawat angkut jenis A400M dari Pangkalan Udara Subang.

Berita penuh :
https://siakapkeli.my/2020/10/17/terkini-aktiviti-gym-aktiviti-padang-komersial-pusat-futsal-dibenarkan-di-kawasan-pkpb-bermula-19-oktober-ini/

COMMENTS