Janji kekal sebagai janji tidak ditepati?

Janji kekal sebagai janji tidak ditepati?

MARAN: Stadium Tun Abdul Razak (STAR) di Bandar Pusat Jengka yang dibuka pada 2015 menjadi mercu tanda bandar itu dan kebanggaan seluruh rakyat Malaysia khususnya warga Felda.

Namun, di sebalik kemegahan STAR, tidak ramai tahu pembinaannya bermula pada 2014 itu mengorbankan satu-satunya taman awam yang menjadi pusat riadah kepada penduduk Jengka.

Biarpun pada awalnya dibantah pelbagai pihak, namun ‘janji manis’ untuk menggantikan taman awam baharu membuatkan penduduk akhirnya akur de­ngan janji-janji diberikan.

Namun sehingga kini, tiada ‘pengganti’ bagi taman awam berkenaan sebaliknya menjadikan Bandar Pusat Jengka sebagai satu-satunya bandar yang tidak mempunyai taman awam di negara ini.

Seorang penduduk, Mohd. Farid Mohd. Zawawi, 28, berkata, ketiadaan taman awam menyebabkan golongan muda di situ bagai ‘hilang arah’ untuk beriadah khususnya pada waktu petang.

Dia yang membantu ba­panya berniaga makanan berkata, keadaan itu menyebabkan go­longan muda yang semakin bertambah di situ banyak menghabiskan masa melepak bersama rakan-rakan.

“Memang saya pelik kenapa sampai sekarang tiada padang awam di Jengka untuk penduduk beriadah sedangkan kami khususnya golongan muda amat memerlukan padang awam untuk beriadah bagi menyihatkan badan.

“Memanglah stadium yang ada besar dan megah tetapi apa manfaatnya kepada kami yang kehilangan tempat riadah, kalau hendak main bola sekali pun dalam stadium perlu menyewa dengan kadar yang mahal,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Farid, buat masa ini, kawasan untuk berjoging hanya sekitar dataran jam yang begitu sempit dan tidak sesuai menyebabkan mereka terpaksa pergi ke dae­rah lain yang ada padang awam seperti Temerloh dan Maran.

Beliau memberitahu, golo­ngan muda yang ingin bermain bola sepak juga menghadapi masalah apabila terpaksa menyewa stadium dengan harga RM800 bagi waktu siang dan RM1,200 malam.

Berita penuh : https://www.utusan.com.my/nasional/komuniti/2020/09/penduduk-pusat-bandar-jengka-mahu-tempat-beriadah/

COMMENTS