Isu Terowong : Ini siasatan SPRM kali ketiga, kerajaan negeri beri kerjasama penuh

Isu Terowong : Ini siasatan SPRM kali ketiga, kerajaan negeri beri kerjasama penuh

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan bahawa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan projek terowong dasar laut adalah penyiasatan berulang untuk kali ketiga.

Beliau berkata, walaupun kes tersebut telah berlarutan beberapa tahun namun Kerajaan Negeri tetap akan memberikan kerjasama supaya siasatan SPRM dapat disempurnakan mengikut lunas undang-undang di negara ini.

“Tetapi kita boleh persoalkan mengapa selalu (SPRM) siasat tak habis-habis, untuk beberapa tahun (siasatan) masih juga belum selesai.

“Ini bukan kali pertama mereka (siasat), mungkin kali ketiga.

“Apapun, kita (Kerajaan Negeri) tidak ada pilihan selain perlu memberikan kerjasama untuk membolehkan SPRM menyempurnakan siasatan mereka,” katanya ketika diminta mengulas mengenai siasatan terbaru SPRM berkaitan projek terowong dasar laut ekoran penahanan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang baru-baru ini.

Tambah Kon Yeow, terdapat beberapa lagi pemimpin Kerajaan Negeri termasuk beliau sendiri akan dipanggil oleh SPRM pada minggu depan untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Kebanyakannya adalah Exco yang memegang jawatan pada masa RFP (request for proposal) dipanggil, dan ada sesetengah Exco seperti YB Jagdeep (Singh Deo) yang bukan Exco (bertanggungajwab) pada masa itu juga turut akan dipanggil.

“Saya juga adalah di antara nama yang mereka (SPRM) minta untuk ditemubual.

“Selain itu, beberapa pegawai dari agensi-agensi yang menjadi agensi teknikal juga dipanggil untuk memberikan keterangan,” ujarnya.

Pada 2 Julai lalu, Kon Yeow dalam satu sidang media menjelaskan bahawa siasatan terhadap Konsortium Zenith BUCG Sdn. Bhd. (Zenith) dan pengerusinya, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berkaitan projek terowong dasar laut telah selesai berdasarkan salinan surat SPRM yang diterima pada April tahun lepas.

Ulas beliau, surat bertarikh 2018 itu memaklumkan bahawa siasatan SPRM terhadap Datuk Zarul dan Zenith telah selesai serta tidak ada pertuduhan dikenakan terhadap kedua-duanya, dan salinan diberikan kepada pejabat beliau pada April 2019 untuk memaklumkan kedudukan pada masa itu.

Sumber:

https://www.buletinmutiara.com/siasatan-sprm-tak-habis-habis-kerajaan-negeri-sedia-beri-kerjasama-kon-yeow/

COMMENTS