Hutang PTPN dikutip hampir RM 600 juta

Hutang PTPN dikutip hampir RM 600 juta

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merekodkan jumlah kutipan bayaran balik sebanyak RM595.25 juta daripada 422,609 peminjam ketika tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman sejak Mac hingga bulan lalu.

Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid, berkata pihaknya memuji inisiatif peminjam yang terus komited untuk membuat bayaran balik pinjaman walaupun diberikan kelonggaran penangguhan seperti diumumkan kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata, kutipan bayaran balik yang diterima pada Oktober adalah sebanyak RM103.03 juta, sekali gus merekodkan peningkatan sehingga 173.65 peratus berbanding April lalu, sebanyak RM37.65 juta.

“Sehingga Oktober, seramai 422,609 peminjam atau mewakili 28.17 peratus daripada 1.5 juta keseluruhan peminjam yang patut membuat bayaran balik memilih untuk meneruskan bayaran balik pinjaman mereka.

“Ini menunjukkan peminjam PTPTN masih terus berusaha membuat bayaran balik pinjaman mereka walaupun berada dalam keadaan sukar akibat pandemik COVID-19.

“Untuk itu, PTPTN mengucapkan syabas dan jutaan terima kasih serta merakamkan penghargaan kepada semua peminjam PTPTN yang meneruskan tanggungjawab menunaikan bayaran balik pinjaman mereka dalam tempoh berkenaan,” katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 Mac lalu mengumumkan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam bagi tempoh enam bulan bermula Mac

Penangguhan itu kemudiannya dilanjutkan bagi tempoh tiga bulan lagi hingga Disember ini seperti yang diumumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada 4 Ogos lalu.

Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN memberi manfaat kepada 1.5 juta peminjam dengan jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik pinjaman adalah sebanyak RM1.13 bilion bermula Mac hingga Disember ini.

Pada masa sama, Ahmad Dasuki berkata, pelaksanaan penangguhan bayaran balik pinjaman adalah langkah prihatin ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

Namun katanya, inisiatif peminjam yang kekal komited dengan memilih untuk terus melakukan bayaran balik pinjaman ini menggambarkan kesungguhan dan sokongan padu mereka dalam bersama berganding bahu bagi membantu memastikan kelestarian PTPTN.

“Usaha sebegini seharusnya menjadi ikutan kepada peminjam lain yang berkemampuan dan tidak terjejas disebabkan pandemik COVID-19.

“PTPTN juga berharap kerjasama dan sokongan padu daripada semua peminjam yang berkemampuan untuk kekal komited membuat bayaran balik bagi memastikan PTPTN dapat meneruskan pinjaman pembiayaan pendidikan kepada generasi akan datang.

“Ia adalah bagi memastikan tiada pelajar yang gagal memasuki institusi pengajian tinggi kerana masalah kewangan,” katanya.

Beliau berkata, PTPTN juga akan sentiasa berusaha memastikan perkhidmatan diberikan adalah yang terbaik khususnya untuk golongan peminjam.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/756222/ptptn-kutip-rm59525-juta-ketika-penangguhan-bayaran-balik-pinjaman

COMMENTS