Hutan simpan Pahang masih stabil

Hutan simpan Pahang masih stabil

KUANTAN – Jumlah keluasan seluruh Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri Pahang kira-kira 1.55 juta hektar stabil biarpun sumber hutan masih menjadi punca pendapatan negeri.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kestabilan itu dicapai ekoran langkah kerajaan negeri mempraktikkan amalan pengurusan hutan secara berkekalan dan melaluinya kawalan ke atas hasil hutan dapat dilaksanakan bagi menjamin kawasan hutan terpelihara.

Menurutnya, daripada keseluruhan HSK di negeri ini, 999,158 hektar atau 64.43 peratus boleh dibalak manakala bakinya, 551,528 hektar atau 35.57 peratus ialah hutan yang tidak boleh dijalankan pembalakan atas sebab-sebab tertentu termasuk sebagai kawasan tadahan air yang sangat sensitif.

“Bagi kawasan HSK yang boleh dibalak, ia sentiasa diaudit di bawah Skim Persijilan Kayu Malaysia (MTCS) kendalian Majlis Persijilan Kayu Malaysia (MTCC).

“Sejak 2002 lagi, Pahang terus kekal menerima persijilan Malaysia Criteria and Indicators For Forest Management Certification (M.C & I) yang dikeluarkan agensi itu.

“Terkini, hasil pengauditan yang berlangsung bermula 25 Februari hingga 2 Mac 2019, sijil M.C & I ini dilanjutkan lagi untuk tempoh bermula 1 Jun 2019 hingga 31 Mei 2024 sekaligus membuktikan Pahang sentiasa melaksanakan pengurusan hutan yang baik selama ini,” katanya dalam ucapan penggulungan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Dalam ucapannya itu, Wan Rosdy turut berkata, Pahang tidak pernah melakukan pembalakan melebihi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang ditetapkan Majlis Tanah Negara.

Menurutnya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), CTT yang ditetapkan seluas 13,687 hektar dan untuk tahun 2019 sahaja, luas kawasan dibalak masih jauh daripada yang ditetapkan iaitu10,313 hektar.

Sementara itu, dalam ucapannya, beliau menjelaskan berhubung peruntukan RM92.5 juta berkaitan pembekalan air.

Katanya, peruntukkan itu bagi tujuh projek yang dirancang iaitu bekalan air Raub ( RM12 juta), bekalan Air Kuantan Fasa 3 (RM10.5 juta), bekalan air Karak (RM10 juta), bekalan air Lipis (RM8 juta), bekalan air Nenasi ( RM5 juta) dan Projek Pemindahan Air Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Kuantan (RM47 juta).

Katanya, dalam perkembangan berkaitan, hutang kerajaan negeri dengan kerajaan Pusat bernilai RM1 bilion akan dilupuskan susulan langkah penstrukturan semula air di seluruh negara.

“Justeru, kerajaan negeri juga tidak perlu menyuntik modal kepada Pengurusan Air Pahang Bhd (Paip) bagi Perbelanjaan Modal (CAPEX) baharu, memandangkan agensi tersebut boleh memohon pinjaman baharu, terus kepada Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB),” kata beliau.

Antara yang menarik perhatian dalam ucapan penggulungan itu, Wan Rosdy turut mengumumkan sumbangan RM50 untuk 15,054 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Pahang.

Katanya, sumbangan kerajaan negeri itu melibatkan peruntukan kewangan RM752,700.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/111127/EDISI/Pahang/Keluasan-hutan-simpan-kekal-di-Pahang-stabil-MB-Pahang

COMMENTS