Data rakyat Malaysia masih selamat?

KUALA LUMPUR: Cyber Security Malaysia (CSM) tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan syarikat China yang ada kaitan dengan tentera dan rangkaian perisikan mengumpul data 1,400 rakyat Malaysia. CSM dalam satu kenyataan pada BH hari ini memaklumkan secara umumnya, isu keselamatan siber seperti kebocoran maklumat dan data rakyat di negara ini berada pada tahap terkawal.
Mengulas lanjut, CSM berkata pihaknya bekerjasama erat dengan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menjalankan siasatan jika menerima sebarang laporan kebocoran maklumat.
“Berkaitan isu berbangkit, terdapat beberapa pihak berwajib yang bertanggungjawab untuk membuat siasatan secara menyeluruh. “Setiap laporan diterima akan dimaklumkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurut kenyataan itu, semua pihak perlu memberi perhatian sewajarnya bagi membendung isu ketirisan data. Katanya, kempen inisiatif kesedaran mengenai isu keselamatan siber perlu diadakan dari semasa ke semasa bagi memberi pemahaman menyeluruh mengenai kaedah pengurusan data terbaik.
“Pada masa kini, jika berlaku pencerobohan data, ia akan menimbulkan keresahan serta kerisauan jika sekiranya data itu dijual di pasaran gelap (dark web). “Data itu kemudian berpotensi untuk dieksploitasi bagi tujuan tertentu.
Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/09/731970/csm-tidak-terima-laporan-kebocoran-data-1400-rakyat-malaysia