Syarikat tidak diperiksa, Air Selangor rugi RM 3 juta

Syarikat tidak diperiksa, Air Selangor rugi RM 3 juta

KUALA SELANGOR: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) kerugian kira-kira RM3 juta apabila sebuah gudang penyimpanan barang dan pengedar alat ganti kenderaan disyaki mencuri air sejak September tahun lalu.

Tindakan licik pemilik premis di Bandar Puncak Alam itu dikesan apabila Air Selangor menjalankan siasatan selepas gudang terbabit tidak mempunyai akaun bekalan air yang sah serta sambungan paip meragukan.

Air Selangor kemudian membuat laporan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebelum serbuan bersama dilakukan bermula jam 9 pagi ini, membabitkan 21 pegawai dan penguat kuasa kedua-dua organisasi.

Jumlah kerugian kira-kira RM3 juta yang dianggarkan adalah pengiraan awal berpandukan saiz paip dan isipadu penggunaan dalam tempoh setahun.

Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Loh Pit Mui, berkata SPAN mendapati pemilik gudang membuat sambungan secara terus dari paip utama milik Air Selangor ke tetiang meter bomba di premis itu.

“Sambungan bawah tanah itu pada jarak kira-kira 800 meter (premis ke paip utama Air Selangor) disyaki untuk menyalurkan bekalan air ke dalam premis bagi operasi harian premis terbabit.

“Ada juga satu sambungan lain sebelum tetiang meter bomba yang menyalurkan bekalan air dengan menggunakan paip poli jenis HDPE ke sebuah tangki simpanan di dalam premis itu.

“Ujian klorin mengesahkan bekalan air itu adalah air terawat dari sumber bekalan air milik Air Selangor,” katanya pada sidang media.

Pit Mui berkata, SPAN masih menjalankan siasatan lanjut kes itu mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

“Pemilik gudang akan dipanggil untuk siasatan lanjut. SPAN juga akan memastikan bekalan air yang dipotong hari ini tidak disambung balik. Pihak penguat kuasa kami akan memantau lokasi ini,” katanya.

Sementara itu, Penolong Naib Presiden ll, Seksyen Penguatkuasaan Air Selangor, Nasir Othman yang mengetuai operasi terbabit, berkata pihaknya mengesan sambungan bekalan air yang meragukan pada awal Februari lalu.

“Air Selangor ada unit khas yang melakukan pemeriksaan di setiap premis, kawasan perumahan, perindustrian yang baru beroperasi serta tapak pembinaan. Hasil semakan mendapati premis ini tidak mempunyai apa-apa akaun bekalan Air Selangor,” katanya.

Katanya, siasatan ketika itu tidak dapat diteruskan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum disambung semula baru-baru ini untuk mendapatkan maklumat lengkap dan bukti.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/09/731622/gudang-disyaki-curi-air-rm3-juta

COMMENTS